Tuesday 29 November 2011

Aidil Zafuan intai gelaran hatrik




AIDIL ZAFUAN mengidam untuk merangkul Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik buat kali ketiga berturut-turut pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 hari ini.


TONGGAK pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Razak berharap persembahan cemerlang pada musim ini mampu melayakkannya menjulang Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik buat kali ketiga berturut-turut menjelang majlis berprestij Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 hari ini.
Persembahan konsisten tonggak berusia 24 tahun itu tidak kira ketika mewakili pasukannya mahupun pasukan kebangsaan berjaya menggondol anugerah itu sejak 2009.
"Sejujurnya, saya rasa cukup bertuah dapat meraih anugerah ini sejak dua tahun lepas.
"Jika menang lagi tahun ini, ia memang cukup istimewa, tambahan pula saya sering dibelenggu kecederaan pada musim ini," katanya yang mula menyarung jersi Harimau Malaya sejak berusia 14 tahun.
"Saya harap saya telah melakukan yang terbaik untuk menerima anugerah tersebut tahun ini yang bagi saya bukan se- kadar anugerah biasa.
"Sebagai pemain, pengiktirafan ini benar-benar bermakna buat saya," katanya.
Bersama kembarnya Zaquan Adha, Aidil sebelum ini berjaya membantu Negeri Sembilan muncul juara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) pada 2004 sebelum menyertai pasukan senior Sang Rusa setahun kemudian.
Mereka juga berjaya muncul juara Liga Super pada tahun yang sama.
Selain mewakili Malaysia pada dua Kejohanan Remaja Asia, Aidil juga berjaya membantu pasukan negara muncul juara Pestabola Merdeka pada 2007 selain mewakili negara pada Piala Asia pada tahun yang sama.
"Saya harap majlis sebegini dapat diteruskan bagi menghargai pemain bola sepak profesional," katanya yang turut membantu Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia musim ini.
Untuk anugerah tahun ini, setiap calon dipilih menerusi undi kesemua jurulatih-jurulatih pasukan Liga Super dan Liga Perdana.
Sementara itu, anugerah persatuan dan pasukan terbaik akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Majlis penganugerahan itu akan berlangsung di Holiday Inn Glenmarie, Shah Alam hari ini.

Ferguson dedah skuad simpanan




MACHEDA (kanan) dijangka akan mengemudi jentera serangan United pada aksi suku akhir Piala Liga menentang Crystal Palace awal pagi ini.


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson akan menggunakan aksi suku akhir Piala Liga menentang Crystal Palace awal pagi ini sebagai medan pendedahan.
Ferguson dijangka akan menurunkan skuad simpanan bagi membuktikan kepada peminat bahawa barisan pemain ini merupakan skuad masa depan meskipun United gagal memenangi dua perlawanan terakhir.
Ketika ini, United sedang bergelut untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati dalam kempen Liga Juara- Juara selepas gagal menewaskan Benfica pada perlawanan terakhir.
Skuad The Red Devils turut mencatat keputusan seri 1-1 dengan Newcastle United pada aksi Liga Perdana England, Sabtu lalu.
Begitupun, Ferguson berhasrat untuk merehatkan bari- san pemain utama dan memberikan kepercayaan kepada skuad remaja United untuk mara separuh akhir Piala Liga.
Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Nani pula yang diturunkan ketika menentang Newcastle sebelum ini mungkin akan diturunkan untuk menentang Aston Villa, Sabtu ini.
Sebaliknya, Paul Pogba, 18, akan digandingkan bersama rakan skuad remaja, Ravel Morrison di bahagian tengah.
Pertahanan England, Chris Smalling yang baru pulih daripada kecederaan kaki bakal beraksi bersama skuad senior, manakala Mame Biram Diouf dan Federico Macheda juga akan ditampilkan kali ini.
"Akan ada perubahan yang besar dalam pasukan," kata Ferguson.
"Chris Smalling sudah kembali dan saya boleh menurunkannya. Dia masih muda dan Palace akan menen- tang skuad remaja kami.
"Apa yang menjadi masalah sekarang adalah di bahagian tengah pasukan. Saya mungkin boleh menurunkan Pogba tetapi saya akan lihat dahulu.
"Yang pastinya, saya masih mempunyai ramai pemain untuk dipilih," katanya.
Kali terakhir United memenangi Piala Liga adalah pada tahun 2010 apabila menewaskan Aston Villa di Wembley. - AFP

FAM sangkal tuduhan





KEKALAHAN 2-3 pasukan Harimau Muda kepada Bahrain dalam saingan Kumpulan C kempen kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia pada Ahad lepas ternyata mengecewakan banyak pihak.
Lebih kecewa, skuad negara yang mendahului dua gol menerusi ‘arkitek’ muda, Nazmi Faiz Mansor dan Mahali Jasuli terpaksa akur dengan kebangki- tan pasukan pelawat yang meledak tiga gol pada lewat permainan menerusi pe- nyerang gantian, Saad Salah Al-Amer dan Isa Ahmed Muthanna.
Paling teruk, ‘malapetaka’ itu berlaku semasa Bahrain terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Fahad Tareq Showaiteb dilayangkan kad merah pada awal babak kedua.
Ekoran daripada itu, timbul nada-nada ‘sumbang’ dari luar padang yang mempersoalkan integriti skuad kendalian Ong Kim Swee serta mengaitkannya dengan isu rasuah seperti mana yang pernah melanda arena bola sepak tempatan suatu ketika dahulu.
Begitupun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Azzuddin Ahmad menafikan sekeras-kerasnya dakwaan negatif itu sambil memberitahu, kegagalan Harimau Muda itu kerana kurang bernasib baik.
Menurut beliau, mustahil pasukan yang berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA itu sanggup menjaja maruah dan menerima suapan.
“Apa semua ini? Desas-desus negatif ini ternyata membunuh semangat pasukan kita yang ketika ini di landasan yang betul bagi memartabatkan semula bola sepak tanah air.
“Sebenarnya, saya sudah lali dengan komen-komen negatif seperti ini. Ia bagaikan asam garam apabila menuduh pasukan negara yang bukan-bukan, rasuah, isu atur perlawanan dan banyak lagi isu negatif.
“Bagi saya, skuad negara yang beraksi cemerlang ketika menentang Bahrain sebenarnya kurang bernasib baik. Tambahan pula pasukan lawan memiliki senarai pemain gantian yang cukup bagus berbanding Harimau Muda yang banyak tercedera sejak temasya Sukan SEA,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Azzuddin memberitahu, penyokong juga harus lebih bersikap profesional dan tidak mudah menghentam atau melenting tidak kira sama ada pasukan negara menang atau tewas.
Ketika mengulas mengenai lanjutan kontrak Kim Swee yang akan tamat pada Mac tahun depan, beliau begitupun enggan mengulas lanjut atas alasan ia merupakan hal dalaman FAM.
“Tidak perlu hendak merujuk SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) untuk siasat kekalahan kali ini, ia bukan faktor rasuah, sebaliknya hanya kita kurang bernasib baik,” tegasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali semasa dihubungi mengesahkan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan bagi menyiasat perkara tersebut.
“Jika ada laporan, kami akan segera siasat tetapi pada masa saya tidak menolak kemungkinan betapa ia sekadar spekulasi orang ramai yang kecewa dengan keputusan perlawanan itu,” katanya enggan mengulas lanjut.

Monday 28 November 2011

Balotelli mangsa provokasi




BALOTELLI (tengah) dilayangkan kad merah selepas menyiku tonggak pertahanan Liverpool, Martin Skrtel aksi Liga Perdana England awal pagi semalam.


LIVERPOOL - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menuduh provokasi barisan pemain Liverpool sebagai punca Mario Balotelli dilayangkan kad merah oleh pengadil, Martin Atkinson.
Mancini menyuarakan kemarahan tersebut selepas menyaksikan anak-anak buahnya sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Liverpool pada aksi Liga Perdana England di Anfield awal pagi semalam.
Balotelli yang masuk sebagai pemain gantian dilayangkan kad merah oleh Atkinson selepas menerima kad kuning kedua ekoran tindakannya yang menyiku tonggak pertahanan Liverpool, Martin Skrtel pada minit ke-83.
Meskipun Mancini tidak mempertikaikan keputusan yang dibuat Atkinson itu, dia menganggap provokasi yang dilakukan barisan pemain Liverpool yang mendesak pengadil melayangkan kad kuning kedua kepada Balotelli adalah satu tindakan yang salah.
"Itu yang saya rasakan. Pada pandangan saya, pengadil (Atkinson) hanya mahu menghadiahkan sepakan percuma tetapi selepas semua pemain Liverpool mendesak, pengadil dilihat seolah-olah terpaksa melayangkan kad kunig kedua.
"Saya hanya kecewa dengan tindakan kurang bijak Balotelli ketika dia menerima kad kuning pertama tetapi bukannya yang kedua.
"Bagi saya, dia tidak sepatutnya dilayangkan kad kuning kedua malah saya yakin pengadil juga tidak mahu melayangkan kad kuning kepada Balotelli.
"Sudah banyak kali saya beritahu bahawa Balotelli akan melakukan apa sahaja dan memang suatu yang sukar untuk mengubah sikap pemain itu dalam masa sebulan.
"Sejak tiga bulan lalu, dia beraksi dengan baik dan menjaringkan gol. Ternyata dia merupakan seorang pemain yang penting buat kami (City)," kata Mancini.
Pada aksi tersebut, City terlebih dahulu berada di depan selepas Vincent Kompany membuka tirai jaringan pada minit ke-31.
Begitupun, dua minit kemudian, Liverpool berjaya menyamakan kedudukan menerusi tonggak pertahanan City, Joleon Lescott yang tertampan bola masuk ke gawang sendiri.
Meskipun usaha mereka gagal untuk merekodkan kemenangan berturut-turut ekoran keputusan seri itu, City masih unggul selaku pendahulu carta liga dengan mengumpul 35 mata, lima mata meninggalkan pencabar utama mereka, Manchester United.
"Ia masih merupakan keputusan yang baik buat kami kerana kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada 10 minit terakhir perlawanan. Ternyata ia bukan satu tugas mudah buat kami di sini (Anfield)," jelas Mancini. - AFP

Safiq sudah ada pencabar




SAFIQ menggalas harapan jutaan peminat tempatan yang mahu menyaksikannya menyarung jersi Cardiff City.


ARKITEK berbakat Harimau Malaya, Safiq Rahim dilaporkan bersaing dengan bintang muda Slovakia, Ivan Stulajter sepanjang menjalani latihan selama tiga minggu bersama kelab Cardiff City.
Menurut laporan akhbar Britain, Daily Mail, kedua-dua pemain telah mula menjalani latihan bersama kesemua barisan utama The Bluebirds di bawah kendalian jurulatih, Malky Mackay.
"Kedua-dua pemain tersebut yang beraksi di posisi tengah menjalani ujian pemilihan tersebut bagi tempoh tiga minggu," kata laporan portal berita itu.
Safiq, 24, telah berlepas ke bumi England dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Rabu lepas.
Stulajter, 18, yang beraksi bersama kelab SK Sigma Olomouc pula merupakan pemain skuad Bawah 18 tahun Slovakia.
Safiq merupakan pemain kedua Malaysia yang mencuba nasib bersama Cardiff selepas bekas rakan sepasukannya di Selangor, Mohd. Safee Sali turut menjalani latihan yang sama awal September lalu.
Begitupun, peluang Safiq menyarung jersi The Bluebirds dikhabarkan lebih cerah berbanding Safee, lantaran usianya yang masih muda.
Disebabkan itu, Safiq tidak berdepan kesukaran sekiranya terpaksa beraksi untuk sekurang-kurangnya selama setahun di kelab lain sebagai antara syarat mendapatkan permit kerja bagi beraksi di kelab England.
Apa yang pasti, kehadiran Safiq menimba ilmu di kelab yang berpangkalan di Wales itu bukan sahaja mengujakan peminat bola sepak tempatan, tetapi juga peminat Cardiff sendiri.
Tinjauan Kosmo! di Cardiff City Online mendapati sebahagian besar peminat kelab itu ternanti-nantikan kehadiran Safiq terutama kehebatannya menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika menentang Liverpool pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Julai lalu.
Antara komen peminat Cardiff di dalam portal tersebut termasuklah: "Satu pelaburan yang berbaloi jika dia (Safiq) mampu menjaringkan gol menentang lawan yang hebat seperti Liverpool."
Terdapat juga komen peminat Cardiff yang berbunyi: "Satu sepakan percuma yang menarik, namun pada masa sama adakah dia (Safiq) sesuai beraksi bersama Cardiff kerana jurang tahap permainan bola sepak antara kedua-dua negara sememangnya cukup ketara."
Dalam pada itu, pemilik Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee dalam kenyataannya berkata, Safiq turut berpeluang berlatih bersama pasukan utama Cardiff sepanjang tiga minggu berada di sana.
"Saya percaya Safiq akan memberikan yang terbaik sepanjang mengikuti latihan itu nanti, selain akan dipantau Mackay secara peribadi bagi menilai kemampuannya," katanya

Arsenal, City dijangka tampil skuad simpanan




WENGER (tengah) bakal merehatkan beberapa pemain utama Arsenal pada pertemuan Piala Liga menentang City di Stadium Emirates awal pagi esok.


LONDON - Arsenal dan Manchester City masing-masing dijangka akan menurunkan barisan pemain simpanan pada aksi suku akhir Piala Liga awal pagi esok.
Kedua-dua pasukan itu tidak mahu mengambil risiko, sekali gus merehatkan beberapa pemain bintang ekoran jadual perlawanan yang masih padat termasuk beraksi pada kempen Liga Juara-Juara.
"Saya terpaksa melakukan rombakan dalam kesebelasan utama pada pertemuan menentang City nanti kerana pemain-pemain saya masih mengalami keletihan daripada aspek mental dan fizikal," kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger.
Bagaimanapun, selaku pendahulu Liga Perdana England, City yang bakal berkunjung ke Stadium Emirates tidak memandang mudah pertemuan tersebut.
Ini kerana, City merasakan bahawa saingan Piala Liga merupakan pentas terbaik buat pasukan itu untuk menamatkan kemarau selama 40 tahun bagi merangkul kejuaraan dalam saingan liga domestik.
Selain Arsenal dan City, empat lagi kelab elit Liga Perdana England iaitu Liverpool, Chelsea, Blackburn Rovers dan Manchester United akan berentap pada aksi suku akhir itu.
Manakala dua lagi slot diisi dua pasukan liga bawahan, Crystal Palace dan Cardiff City.
Dalam pada itu, satu lagi pertemuan yang menjanjikan saingan cukup sengit ialah perlawanan di antara Chelsea dan Liverpool di Stamford Bridge awal pagi esok.
Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish menjelaskan bahawa dia akan menurunkan beberapa pemain yang jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama sebelum ini termasuk bekas tonggak pertahanan Rangers, Danny Wilson.
Lain-lain perlawanan pula menyaksikan Cardiff berdepan Blackburn manakala United bertemu Crystal Palace. - AFP

Malaysia kalah dengan Bahrain

Sunday 27 November 2011

Ferguson sengaja tempah bencana




PEMAIN-PEMAIN Manchester United menyerbu ke arah penjaga garisan, John Flynn (kanan) sebaik tamat permainan bagi membantah sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Newcastle untuk perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1, kelmarin.


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson bakal dikenakan hukuman oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England ekoran tindakannya mengkritik secara terbuka penjaga garisan, John Flynn.
Ferguson membuat kritikan tersebut selepas menyaksikan anak-anak buahnya sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Newcastle United dalam saingan Liga Perdana England kelmarin.
Pada aksi di Old Trafford itu, Ferguson mempertikaikan keputusan Flynn yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Newcastle selepas tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand dilihat telah mengasari Hatem Ben Arfa dalam kotak penalti pada minit ke-61.
Bagi Ferguson, keputusan tersebut sama sekali bercanggah dengan apa yang dilihat oleh pengadil perlawanan, Mike Jones yang berada berhampiran.
Namun, selepas melakukan perbincangan dengan Flynn di tepi padang, Jones memutuskan untuk memberikan sepakan penalti kepada Newcastle dan Demba Ba menyempurnakannya pada minit ke-64.
Jaringan tersebut sekali gus memadam gol pendahuluan United menerusi bintang Mexico, Javier Hernandez pada minit ke-49.
"Saya tidak fikir semua orang yang berada di padang merasakan tindakan dilakukan Ferdinand itu wajar diberikan penalti kecuali penjaga garisan sahaja.
"Pengadil perlawanan (Jones) sendiri merasakan bahawa sepakan sudut adalah yang paling tepat buat Newcastle kerana dia berada berhampiran ketika insiden tersebut berlaku.
"Namun, masalah utamanya kini mengapa pengadil perlawanan mengikut apa yang diperkatakan oleh penjaga garisan. Sebagai pengadil perlawanan, dia yang lebih berhak untuk membuat keputusan.
"Dua tahun lalu, apabila penjaga garisan mengesahkan jaringan yang dilakukan oleh Chelsea biarpun berada dalam posisi ofsaid, ia telah memberi kesan kepada kami (United) untuk bergelar juara liga.
"Jadi, apa yang saya harapkan, ia tidak akan berulang pada penghujung musim ini," kata Ferguson.
Keputusan seri tersebut sekali gus menyaksikan skuad The Red Devils mensia-siakan peluang merapatkan kedudukan dengan pendahulu, Manchester City. - AFP

Real Madrid

Barcelona tersungkur, Real terus berkuasa




PEMAIN Barcelona, Gerard Pique (tengah) cuba ditenangkan pemain Getafe, A.J. Rios selepas berakhir perlawanan yang menyaksikan juara bertahan itu tewas 0-1.


MADRID - Juara bertahan, Barcelona tewas mengejut 0-1 ketika menentang Getafe sekaligus ketinggalan enam mata di belakang seteru utama, Real Madrid yang mudah membelasah Atletico Madrid 4-1 dalam aksi Liga Sepanyol kelmarin.
Pemain Getafe, Juan Valera muncul wira pasukannya apabila meledak gol kemenangan sekaligus menyaksikan kekalahan pertama Barcelona pada saingan liga domestik musim ini.
Sudah pasti, The Catalan kini nekad mahu menebus kekecewaan mereka apabila dijadualkan menentang Madrid dalam aksi 'El Clasico' pada 10 Disember ini.
Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola berkata: "Ia bukan satu kekalahan yang teruk dan kami pasti bangkit pada musim ini.
"Kami perlu berusaha lebih keras untuk mendapatkan kembali rentak kemenangan dan cuba mendapatkan tiga mata penting nanti.
"Kami beraksi dengan baik ketika menentang pasukan yang baik. Mereka (Getafe) merupakan satu pasukan yang kuat, jadi ia sentiasa akan menjadi satu permainan yang sukar." ujarnya.
Sementara itu, jurulatih Madrid, Jose Mourinho berkata: "Kami beraksi tanpa sebarang masalah. Kami bermain untuk menang dan saya tidak mahu penyokong sakit hati semasa pulang ke rumah (selepas tewas) kerana bayaran tiket yang mahal.
"Pemain saya berjaya melakukan tugas dengan baik kerana berjaya mendapatkan tiga mata penting," ujarnya.
Gol-gol Madrid dijaringkan menerusi dua penalti Cristiano Ronaldo di samping masing-masing satu gol menerusi Angel Di Maria dan penyerang gantian, Gonzalo Higuain.
Gol saguhati Atletico Madrid pula dijaringkan Adrian Lopez pada minit ke-14. - AFP

Diri Saya

Hai,nama saya Ahmad Taufiq.Umur saya 10 tahun.Saya suka bermain bola sepak.Pasukan kegemaran saya real madrid.