Wednesday 7 December 2011

Penangan darah muda Barcelona



BARISAN pemain muda Barca meraikan kejayaan mereka membenam BATE 4-0 pada aksi Liga Juara-Juara di Nou Camp awal pagi semalam.


BARCELONA - Skuad muda Barcelona tampil bergaya apabila membenam BATE Borisov 4-0 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan H kempen Liga Juara-Juara di Nou Camp awal pagi semalam.
Sebelum beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, kelab Catalan itu terlebih dahulu telah mengesahkan slot ke pusingan kalah mati.
Begitupun, barisan pemain muda kendalian Pep Guardiola itu membuktikan betapa mereka juga memiliki sentuhan berbisa bagi membenam lawan.
Pada aksi semalam, Guardiola tidak menurunkan barisan bintangnya - Lionel Messi, Xavi, Andres Iniesta, Cesc Fabregas dan Victor Valdes.
Sebaliknya, Guardiola membuat kejutan apabila menyenaraikan 10 pemain muda yang mempunyai purata umur 21.4 tahun dan hanya Pedro Rodriguez sahaja pemain berpengalaman diturunkan dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, kepercayaan yang diberikan Guardiola berjaya dibalas dengan cemerlang oleh pemain-pemain muda Barca.
Pemain tengah, Sergio Roberto membuka tirai jaringan Barca pada minit ke-35 sebelum tonggak pertahanan, Martin Montoya menambah gol kedua tuan rumah pada minit ke-60.
Penyerang berpengalaman, Pedro Rodriguez melengkapkan hari gemilang Barca dengan menyumbat dua gol lagi, masing-masing pada minit ke-63 dan 88 (penalti).
"Ia sesuatu yang berharga kerana saya memiliki generasi pemain yang mampu untuk diharapkan," kata Guardiola.
"Perkara yang sukar bagi mereka kini ialah untuk mengekalkan tahap permainan mereka setelah kembali ke skuad Barcelona B.
"Bagaimanapun, saya sangat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan para pemain muda ini."
Sementara itu, jurulatih BATE, Viktor Goncharenko mengakui, beberapa pemain muda Barca mampu mengisi tempat Messi dan Xavi pada masa akan datang.
"Memang tahap permainan Messi dan Xavi cukup tinggi, tetapi pemain-pemain muda ini mampu menghampiri jurang tersebut tidak lama lagi," jelas Goncharenko.
Dengan kemenangan besar tersebut, Barca kini merekodkan 20 gol dalam enam perlawanan peringkat kumpulan, sama seperti dicapai Manchester United pada musim 1998/99. - Reuters

No comments:

Post a Comment