Sunday 27 November 2011

Barcelona tersungkur, Real terus berkuasa




PEMAIN Barcelona, Gerard Pique (tengah) cuba ditenangkan pemain Getafe, A.J. Rios selepas berakhir perlawanan yang menyaksikan juara bertahan itu tewas 0-1.


MADRID - Juara bertahan, Barcelona tewas mengejut 0-1 ketika menentang Getafe sekaligus ketinggalan enam mata di belakang seteru utama, Real Madrid yang mudah membelasah Atletico Madrid 4-1 dalam aksi Liga Sepanyol kelmarin.
Pemain Getafe, Juan Valera muncul wira pasukannya apabila meledak gol kemenangan sekaligus menyaksikan kekalahan pertama Barcelona pada saingan liga domestik musim ini.
Sudah pasti, The Catalan kini nekad mahu menebus kekecewaan mereka apabila dijadualkan menentang Madrid dalam aksi 'El Clasico' pada 10 Disember ini.
Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola berkata: "Ia bukan satu kekalahan yang teruk dan kami pasti bangkit pada musim ini.
"Kami perlu berusaha lebih keras untuk mendapatkan kembali rentak kemenangan dan cuba mendapatkan tiga mata penting nanti.
"Kami beraksi dengan baik ketika menentang pasukan yang baik. Mereka (Getafe) merupakan satu pasukan yang kuat, jadi ia sentiasa akan menjadi satu permainan yang sukar." ujarnya.
Sementara itu, jurulatih Madrid, Jose Mourinho berkata: "Kami beraksi tanpa sebarang masalah. Kami bermain untuk menang dan saya tidak mahu penyokong sakit hati semasa pulang ke rumah (selepas tewas) kerana bayaran tiket yang mahal.
"Pemain saya berjaya melakukan tugas dengan baik kerana berjaya mendapatkan tiga mata penting," ujarnya.
Gol-gol Madrid dijaringkan menerusi dua penalti Cristiano Ronaldo di samping masing-masing satu gol menerusi Angel Di Maria dan penyerang gantian, Gonzalo Higuain.
Gol saguhati Atletico Madrid pula dijaringkan Adrian Lopez pada minit ke-14. - AFP

No comments:

Post a Comment