Sunday 18 December 2011

Barcelona tawan dunia




YOKOHAMA, Jepun – Juara kelab Eropah, Barcelona memenangi gelaran juara Piala Kelab Dunia selepas menewaskan Santos dari Brazil 4-0 pada final semalam.
Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi meledakkan dua gol untuk kelab Liga Sepanyol itu, manakala Xavi Hernandez dan Cesc Fabregas masing-masing menyumbat satu gol.
Penyerang Argentina itu meletakkan Barcelona di depan menerusi satu gerakan cantik pada minit ke-17 sebelum Xavi menambah gol kedua tujuh minit kemudian.
Bekas pemain Arsenal, Cesc Fabregas mengukuhkan kedudukan pada minit-minit akhir babak pertama sebelum Messi mengesahkan kemenangan mutlak Barcelona minit ke-82.
Ia adalah trofi yang ke-13 buat Barcelona di bawah bimbingan jurulatih Pep Guardiola.
Sementara itu, pada perlawanan terdahulu, kelab Qatar, Al Sadd menewaskan juara Jepun, Kashiwa Reysol 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti untuk menduduki tempat ketiga pada kejohanan ini.
Barcelona membuktikan mereka kini adalah kelab bola sepak terhebat di dunia selepas mudah membelasah Santos dari Brazil 4-0 untuk muncul juara Piala Kelab Dunia semalam.
Ironinya, kejayaan kelab dari Sepanyol itu turut ditunjangi kelibat pemain terhebat dunia, Lionel Messi yang menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir tersebut.
Dua lagi gol Barcelona dijaringkan oleh Xavi Hernandez dan Cesc Fabregas.
Ternyata pertemuan juara kelab Eropah dan juara kelab Amerika Selatan itu tidak berlangsung seperti yang diharapkan apabila Barcelona mudah meratah gawang Santos.
Malah, pertembungan sengit yang dijangka antara Messi dan Neymar juga tidak menjadi kenyataan apabila penye- rang Santos itu tenggelam dalam seba- hagian besar permainan.
Ini menyaksikan Barcelona mudah meraih kejuaraan Piala Kelab Dunia kedua mereka dalam tempoh tiga tahun. Kali pertama ialah pada 2009 ketika mereka menewaskan Estudiantes 2-1 selepas masa tambahan.
Bagi jurulatih Barcelona, Pep Guardiola, ini merupakan trofi ke-13 berjaya dimenanginya sejak mula membimbing kelab itu pada 5 Jun, 2008.
Sementara itu, juara kelab Asia, Al Sadd dari Qatar berjaya menduduki tempat ketiga selepas menewas- kan juara kelab Jepun, Kashiwa Reysol menerusi pe- nentuan sepakan penalti 5-3 selepas kedudukan terikat tanpa jaringan dalam 90 minit permainan dan masa tambahan. – AFP

Monday 12 December 2011

'Saya ikhlas tunai tanggungjawab'



Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar menyampaikan pingat kepada Kim Swee menerusi insentif di bawah program Anugerah Sports Toto-MOM minggu lalu.


PENGENDALI skuad bola sepak bawah 23 (B-23) tahun negara, Ong Kim Swee tidak mahu keikhlasannya Harimau Muda disalah ertikan oleh mana-mana pihak.
Kim Swee yang telah menginjak usia 41 tahun semalam berkata, tiada lain daripada fikirannya selain daripada mahu memberikan yang terbaik dalam usaha menjadikan skuad negara kembali digeruni terutama di pentas Asia Tenggara.
Menurut Kim Swee, tidak pernah terlintas di hatinya bagi mengejar sebarang anugerah dan pengiktirafan termasuk pangkat Datuk, sebaliknya beliau hanya menganggap itu semua sebagai motivasi bagi memberikan yang terbaik dari semasa ke semasa.
“Janganlah panggil saya Datuk, segan saya. Saya belum menerima anugerah sedemikian lagi setakat ini, cukuplah sekadar memanggil nama saya.
“Saya hanya bekerja secara ikhlas, sebarang anugerah dan pengiktirafan dianggap sebagai motivasi yang lebih tinggi bagi menghadirkan kejayaan buat skuad negara,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Spekulasi mengaitkan darjah penganugerahan Datuk kepada pengendali yang berasal dari Melaka itu mula meniti di bibir pemerhati bola sepak tempatan lantaran kejayaan beliau membantu Harimau Muda mempertahankan pingat emas temasya Sukan SEA di Jakarta, Indonesia bulan lalu.
Minggu lalu, Kim Swee dilaporkan bakal dikurnia pingat Darjah Seri Melaka hasil sumbangannya membimbing Harimau Muda mempertahankan pingat emas Sukan SEA.
Bagaimanapun, pingat kebesaran itu tidak membawa gelaran Datuk.
Apa yang pasti, kecemerlangan anak-anak buah Kim Swee yang ketika ini sedang ‘berguru’ di Australia bagi aksi persahabatan menentang tiga buah kelab elit di negara itu, sudah tentu merupakan hadiah hari jadi beliau yang paling bermakna kali ini.
Harimau Muda yang selamat tiba di Sydney kelmarin, bakal membuat perhitungan dengan kelab Sydney FC di sebuah padang universiti di sana pukul 11.30 pagi (pukul 8.30 pagi waktu Malaysia) esok.
Kemudiannya, anak-anak buah Kim Swee akan menentang Central South Mariner sebelum menutup aksi menentang Newcastle Jets pada 19 Disember depan.
Mengulas lanjut, Kim Swee mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terutama Presiden, Sultan Ahmad Shah yang masih menaruh kepercayaan kepada beliau mengemudi Harimau Muda setelah kontraknya yang sebelum ini tamat pada April tahun depan telah dilanjutkan sehingga penghujung 2013.
“Pelbagai rangka perancangan sudah dalam pemikiran saya sehingga 2014 dan saya berjanji akan memberikan yang terbaik untuk membawa pasukan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Selain beraksi dalam kempen Liga Singapura (Liga-S) selama empat musim bermula Februari tahun depan, Kim Swee yang masih mempunyai baki tiga aksi kelayakan temasya Olimpik 2012 Zon Asia pastinya mempunyai ‘kerja rumah’ yang cukup banyak sebagai persediaan jangka panjang termasuk Sukan SEA 2013 di Myanmar dan Sukan Asia di Korea Selatan setahun kemudian.

'Kami hanya kurang bernasib baik

'


MOURINHO (kiri) memerhatikan Lionel Messi (tengah) mudah mengatasi halangan Marcelo ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi El-Clasico di Bernabue kelmarin.


MADRID - Pengendali Real Madrid, Jose Mourinho seolah-olah memperlekehkan kemenangan Barcelona yang menewaskan pasukannya 3-1 dalam pertembungan klasik di Stadium Bernebue awal pagi kelmarin.
Sambil menyifatkan pasukannya kurang bernasib baik, pengendali kelahiran Portugal itu juga yakin kekalahan itu langsung tidak menjejaskan tumpuan pemainnya dalam perebutan takhta Liga Sepanyol selepas ini.
"Ia hanya satu perlawanan biasa, lazimnya ia juga bergantung kepada tuah.
"Yang jelas, kami kurang bernasib baik," katanya.
Madrid yang terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Karim Benzema seawal minit pertama begitupun terpaksa akur dengan tiga jaringan penyerang Barcelona menerusi Alexis Sanchez, Xavi dan Cesc Fabregas.
"Sepatutnya, kami menjaringkan lebih banyak gol sebaik mendahului 1-0.
"Dengan memiliki pemain yang hebat seperti Cristiano Ronaldo, kami bagaimanapun gagal melakukannya.
"Gol kedua mereka juga jelas kerana tuah, sesiapa juga pastinya bersetuju dengan itu.
"Ketika kami mengejar untuk menyamakan kedudukan, secara tiba-tiba mereka menjaringkan gol ketiga sekaligus menyebabkan pemain kami tertekan.
"Namun, yang terjadi biarkan sahaja terjadi. Ternyata nasib benar-benar tidak menyebelahi kami," katanya.
Pada masa sama, Mourinho juga gagal menyembunyikan kekecewaannya berhubung keputusan pengadil termasuk tidak melayangkan kad kuning kedua kepada Lionel Messi yang melakukan terjahan lambat ke atas Xabi Alonso.
"Bagi saya, Messi sepatutnya diarah keluar padang. Tetapi pengadil lebih mengetahui perkara itu," katanya.
Mourinho juga tidak bimbang dengan kekalahan itu yang menyaksikan pasukannya kini berkongsi 37 mata bersama Barcelona yang sudah beraksi lebih satu perlawanan.
"Sedih memang sedih, tetapi kami tetap tidak terlalu khuatir. Kami masih mempunyai kelebihan satu perlawanan, asalkan kami tidak tewas ketika menentang Sevilla nanti," katanya.
Pendapat Mourinho juga dipersetujui oleh pengendali The Catalan, Pep Guardiola.
"Saya tidak merasakan kekalahan ini akan menjejaskan moral pemain Madrid.
"Silap-silap, mereka akan menjadi lebih kuat selepas ini. Saya masih tidak nampak siapa yang boleh muncul juara, masih terlalu awal untuk berbicara mengenai itu," katanya. - Reuters

Wednesday 7 December 2011

Tak perlu terburu-buru




PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak ‘sekejam’ yang dijangkakan.Meskipun sebelum ini badan induk sukan bola sepak negara itu berkeras agar semua persatuan negeri perlu mendaftarkan pemain-pemain import mereka selewat-lewatnya hari ini, namun FAM meningkatkan mereka agar tidak perlu terburu-buru berbuat demikian.
Mana-mana persatuan bola sepak negeri dan kelab yang tidak sempat mendaftarkan pemain-pemain import mereka sehingga tarikh akhir hari ini bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Malaysia musim depan, masih boleh melakukannya pada
2 April 2012.
Demikian tegas Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin semalam.
Menurut Hamidin, pasukan bola sepak negeri dan kelab tidak perlu terburu-buru untuk melakukan pendaftaran pemain-pemain import mereka bagi mengelak berlakunya kesilapan dalam pemilihan pemain.
"Adalah lebih elok jika mereka mengambil langkah berhati-hati daripada berhadapan dengan risiko tersalah memilih pemain kerana pengambilan pemain import membabitkan kos yang agak tinggi,” katanya.
Hamidin berkata, semua pasukan yang akan beraksi dalam Liga Malaysia pada musim 2012 telah selesai melakukan pendaftaran bagi pemain tempatan cuma beberapa pasukan yang belum mendaftarkan pemain import.
Katanya, peluang kedua untuk membuat pendaftaran pemain import boleh dilakukan pada
2 April itu secara talian melalui Transfer Matching System (TMS) yang diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
"Buat masa sekarang FIFA menutup seketika pendaftaran TMS dan akan membuka kembali pada 2 April nanti. Jadi persatuan dan kelab boleh membuat pendaftaran pada tarikh tersebut,” katanya.
TMS diperkenalkan FIFA pada Februari 2008 bagi melicinkan proses perpindahan pemain yang melibatkan 4,600 kelab dan persatuan bola sepak
di seluruh dunia.
Saingan Liga Super dan Liga Perdana musim 2012 dijadualkan bermula pada awal Januari depan.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) meminta FAM agar melanjutkan tempoh pendaftaran pemain import kerana mereka belum bersedia berbuat demikian.

Penangan darah muda Barcelona



BARISAN pemain muda Barca meraikan kejayaan mereka membenam BATE 4-0 pada aksi Liga Juara-Juara di Nou Camp awal pagi semalam.


BARCELONA - Skuad muda Barcelona tampil bergaya apabila membenam BATE Borisov 4-0 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan H kempen Liga Juara-Juara di Nou Camp awal pagi semalam.
Sebelum beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, kelab Catalan itu terlebih dahulu telah mengesahkan slot ke pusingan kalah mati.
Begitupun, barisan pemain muda kendalian Pep Guardiola itu membuktikan betapa mereka juga memiliki sentuhan berbisa bagi membenam lawan.
Pada aksi semalam, Guardiola tidak menurunkan barisan bintangnya - Lionel Messi, Xavi, Andres Iniesta, Cesc Fabregas dan Victor Valdes.
Sebaliknya, Guardiola membuat kejutan apabila menyenaraikan 10 pemain muda yang mempunyai purata umur 21.4 tahun dan hanya Pedro Rodriguez sahaja pemain berpengalaman diturunkan dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, kepercayaan yang diberikan Guardiola berjaya dibalas dengan cemerlang oleh pemain-pemain muda Barca.
Pemain tengah, Sergio Roberto membuka tirai jaringan Barca pada minit ke-35 sebelum tonggak pertahanan, Martin Montoya menambah gol kedua tuan rumah pada minit ke-60.
Penyerang berpengalaman, Pedro Rodriguez melengkapkan hari gemilang Barca dengan menyumbat dua gol lagi, masing-masing pada minit ke-63 dan 88 (penalti).
"Ia sesuatu yang berharga kerana saya memiliki generasi pemain yang mampu untuk diharapkan," kata Guardiola.
"Perkara yang sukar bagi mereka kini ialah untuk mengekalkan tahap permainan mereka setelah kembali ke skuad Barcelona B.
"Bagaimanapun, saya sangat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan para pemain muda ini."
Sementara itu, jurulatih BATE, Viktor Goncharenko mengakui, beberapa pemain muda Barca mampu mengisi tempat Messi dan Xavi pada masa akan datang.
"Memang tahap permainan Messi dan Xavi cukup tinggi, tetapi pemain-pemain muda ini mampu menghampiri jurang tersebut tidak lama lagi," jelas Goncharenko.
Dengan kemenangan besar tersebut, Barca kini merekodkan 20 gol dalam enam perlawanan peringkat kumpulan, sama seperti dicapai Manchester United pada musim 1998/99. - Reuters

Thursday 1 December 2011

Carragher mula impikan final



CARRAGHER mengintai final Piala Liga di Stadium Wembley.


LONDON - Pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher mula mengimpikan final Piala Liga di Wembley selepas membantu pasukannya menewaskan Chelsea kelmarin.
Carragher yang membuat penampilan pertama selepas sebulan tidak beraksi dalam skuad kendalian Kenny Dalglish itu tampil hebat untuk membantu pasukan mereka mencatatkan kemenangan keempat di Stamford Bridge.
Pemain berusia 33 tahun itu mahu memastikan untuk membantu Liverpool menempah tempat ke final di Wembley dan mahu meraih kejuaraan pertama dalam tempoh tujuh tahun.
Carragher berkata: "Saya pernah beraksi di Wembley sekali atau dua untuk England namun saya tidak pernah melakukkannya bersama Liverpool. Saya sangat teruja jika dapat berbuat demikian.
"Apabila kami berjaya mara ke peringkat akhir beberapa tahun lalu tetapi ketika itu final di Cardiff tetapi saya tidak bersama pasukan pada waktu itu.
"Masih ada perlawanan timbal balik separuh akhir untuk diharungi selepas ini dan pasukan lain yang layak juga bukan calang-calang. Kami pasti mahu memandang serius terhadap lawan kami kelak (di separuh akhir)."
Bekas bintang England itu juga memuji persembahan pemain pertahanan muda, Martin Kelly selepas pemain kebangsaan England bawah 21 tahun itu menjaringkan gol pertama bersama skuad senior.
Tambahnya: "Kelly merupakan pemain muda yang berbakat besar di dalam pasukan kami dan masih belajar untuk terus memperbaiki mutu permainan.
"Dia boleh belajar dari pemain pertahanan kanan England, Glen Johnson untuk terus meningkatkan tahap prestasinya.
"Saya berharap dia dapat mengekalkan persembahan mantap itu pada masa hadapan sebagaimana dia lakukan ketika menentang Chelsea." - Agensi

Tuesday 29 November 2011

Aidil Zafuan intai gelaran hatrik




AIDIL ZAFUAN mengidam untuk merangkul Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik buat kali ketiga berturut-turut pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 hari ini.


TONGGAK pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Razak berharap persembahan cemerlang pada musim ini mampu melayakkannya menjulang Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik buat kali ketiga berturut-turut menjelang majlis berprestij Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 hari ini.
Persembahan konsisten tonggak berusia 24 tahun itu tidak kira ketika mewakili pasukannya mahupun pasukan kebangsaan berjaya menggondol anugerah itu sejak 2009.
"Sejujurnya, saya rasa cukup bertuah dapat meraih anugerah ini sejak dua tahun lepas.
"Jika menang lagi tahun ini, ia memang cukup istimewa, tambahan pula saya sering dibelenggu kecederaan pada musim ini," katanya yang mula menyarung jersi Harimau Malaya sejak berusia 14 tahun.
"Saya harap saya telah melakukan yang terbaik untuk menerima anugerah tersebut tahun ini yang bagi saya bukan se- kadar anugerah biasa.
"Sebagai pemain, pengiktirafan ini benar-benar bermakna buat saya," katanya.
Bersama kembarnya Zaquan Adha, Aidil sebelum ini berjaya membantu Negeri Sembilan muncul juara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) pada 2004 sebelum menyertai pasukan senior Sang Rusa setahun kemudian.
Mereka juga berjaya muncul juara Liga Super pada tahun yang sama.
Selain mewakili Malaysia pada dua Kejohanan Remaja Asia, Aidil juga berjaya membantu pasukan negara muncul juara Pestabola Merdeka pada 2007 selain mewakili negara pada Piala Asia pada tahun yang sama.
"Saya harap majlis sebegini dapat diteruskan bagi menghargai pemain bola sepak profesional," katanya yang turut membantu Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia musim ini.
Untuk anugerah tahun ini, setiap calon dipilih menerusi undi kesemua jurulatih-jurulatih pasukan Liga Super dan Liga Perdana.
Sementara itu, anugerah persatuan dan pasukan terbaik akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Majlis penganugerahan itu akan berlangsung di Holiday Inn Glenmarie, Shah Alam hari ini.

Ferguson dedah skuad simpanan




MACHEDA (kanan) dijangka akan mengemudi jentera serangan United pada aksi suku akhir Piala Liga menentang Crystal Palace awal pagi ini.


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson akan menggunakan aksi suku akhir Piala Liga menentang Crystal Palace awal pagi ini sebagai medan pendedahan.
Ferguson dijangka akan menurunkan skuad simpanan bagi membuktikan kepada peminat bahawa barisan pemain ini merupakan skuad masa depan meskipun United gagal memenangi dua perlawanan terakhir.
Ketika ini, United sedang bergelut untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati dalam kempen Liga Juara- Juara selepas gagal menewaskan Benfica pada perlawanan terakhir.
Skuad The Red Devils turut mencatat keputusan seri 1-1 dengan Newcastle United pada aksi Liga Perdana England, Sabtu lalu.
Begitupun, Ferguson berhasrat untuk merehatkan bari- san pemain utama dan memberikan kepercayaan kepada skuad remaja United untuk mara separuh akhir Piala Liga.
Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Nani pula yang diturunkan ketika menentang Newcastle sebelum ini mungkin akan diturunkan untuk menentang Aston Villa, Sabtu ini.
Sebaliknya, Paul Pogba, 18, akan digandingkan bersama rakan skuad remaja, Ravel Morrison di bahagian tengah.
Pertahanan England, Chris Smalling yang baru pulih daripada kecederaan kaki bakal beraksi bersama skuad senior, manakala Mame Biram Diouf dan Federico Macheda juga akan ditampilkan kali ini.
"Akan ada perubahan yang besar dalam pasukan," kata Ferguson.
"Chris Smalling sudah kembali dan saya boleh menurunkannya. Dia masih muda dan Palace akan menen- tang skuad remaja kami.
"Apa yang menjadi masalah sekarang adalah di bahagian tengah pasukan. Saya mungkin boleh menurunkan Pogba tetapi saya akan lihat dahulu.
"Yang pastinya, saya masih mempunyai ramai pemain untuk dipilih," katanya.
Kali terakhir United memenangi Piala Liga adalah pada tahun 2010 apabila menewaskan Aston Villa di Wembley. - AFP

FAM sangkal tuduhan





KEKALAHAN 2-3 pasukan Harimau Muda kepada Bahrain dalam saingan Kumpulan C kempen kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia pada Ahad lepas ternyata mengecewakan banyak pihak.
Lebih kecewa, skuad negara yang mendahului dua gol menerusi ‘arkitek’ muda, Nazmi Faiz Mansor dan Mahali Jasuli terpaksa akur dengan kebangki- tan pasukan pelawat yang meledak tiga gol pada lewat permainan menerusi pe- nyerang gantian, Saad Salah Al-Amer dan Isa Ahmed Muthanna.
Paling teruk, ‘malapetaka’ itu berlaku semasa Bahrain terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Fahad Tareq Showaiteb dilayangkan kad merah pada awal babak kedua.
Ekoran daripada itu, timbul nada-nada ‘sumbang’ dari luar padang yang mempersoalkan integriti skuad kendalian Ong Kim Swee serta mengaitkannya dengan isu rasuah seperti mana yang pernah melanda arena bola sepak tempatan suatu ketika dahulu.
Begitupun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Azzuddin Ahmad menafikan sekeras-kerasnya dakwaan negatif itu sambil memberitahu, kegagalan Harimau Muda itu kerana kurang bernasib baik.
Menurut beliau, mustahil pasukan yang berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA itu sanggup menjaja maruah dan menerima suapan.
“Apa semua ini? Desas-desus negatif ini ternyata membunuh semangat pasukan kita yang ketika ini di landasan yang betul bagi memartabatkan semula bola sepak tanah air.
“Sebenarnya, saya sudah lali dengan komen-komen negatif seperti ini. Ia bagaikan asam garam apabila menuduh pasukan negara yang bukan-bukan, rasuah, isu atur perlawanan dan banyak lagi isu negatif.
“Bagi saya, skuad negara yang beraksi cemerlang ketika menentang Bahrain sebenarnya kurang bernasib baik. Tambahan pula pasukan lawan memiliki senarai pemain gantian yang cukup bagus berbanding Harimau Muda yang banyak tercedera sejak temasya Sukan SEA,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Azzuddin memberitahu, penyokong juga harus lebih bersikap profesional dan tidak mudah menghentam atau melenting tidak kira sama ada pasukan negara menang atau tewas.
Ketika mengulas mengenai lanjutan kontrak Kim Swee yang akan tamat pada Mac tahun depan, beliau begitupun enggan mengulas lanjut atas alasan ia merupakan hal dalaman FAM.
“Tidak perlu hendak merujuk SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) untuk siasat kekalahan kali ini, ia bukan faktor rasuah, sebaliknya hanya kita kurang bernasib baik,” tegasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali semasa dihubungi mengesahkan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan bagi menyiasat perkara tersebut.
“Jika ada laporan, kami akan segera siasat tetapi pada masa saya tidak menolak kemungkinan betapa ia sekadar spekulasi orang ramai yang kecewa dengan keputusan perlawanan itu,” katanya enggan mengulas lanjut.

Monday 28 November 2011

Balotelli mangsa provokasi




BALOTELLI (tengah) dilayangkan kad merah selepas menyiku tonggak pertahanan Liverpool, Martin Skrtel aksi Liga Perdana England awal pagi semalam.


LIVERPOOL - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menuduh provokasi barisan pemain Liverpool sebagai punca Mario Balotelli dilayangkan kad merah oleh pengadil, Martin Atkinson.
Mancini menyuarakan kemarahan tersebut selepas menyaksikan anak-anak buahnya sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Liverpool pada aksi Liga Perdana England di Anfield awal pagi semalam.
Balotelli yang masuk sebagai pemain gantian dilayangkan kad merah oleh Atkinson selepas menerima kad kuning kedua ekoran tindakannya yang menyiku tonggak pertahanan Liverpool, Martin Skrtel pada minit ke-83.
Meskipun Mancini tidak mempertikaikan keputusan yang dibuat Atkinson itu, dia menganggap provokasi yang dilakukan barisan pemain Liverpool yang mendesak pengadil melayangkan kad kuning kedua kepada Balotelli adalah satu tindakan yang salah.
"Itu yang saya rasakan. Pada pandangan saya, pengadil (Atkinson) hanya mahu menghadiahkan sepakan percuma tetapi selepas semua pemain Liverpool mendesak, pengadil dilihat seolah-olah terpaksa melayangkan kad kunig kedua.
"Saya hanya kecewa dengan tindakan kurang bijak Balotelli ketika dia menerima kad kuning pertama tetapi bukannya yang kedua.
"Bagi saya, dia tidak sepatutnya dilayangkan kad kuning kedua malah saya yakin pengadil juga tidak mahu melayangkan kad kuning kepada Balotelli.
"Sudah banyak kali saya beritahu bahawa Balotelli akan melakukan apa sahaja dan memang suatu yang sukar untuk mengubah sikap pemain itu dalam masa sebulan.
"Sejak tiga bulan lalu, dia beraksi dengan baik dan menjaringkan gol. Ternyata dia merupakan seorang pemain yang penting buat kami (City)," kata Mancini.
Pada aksi tersebut, City terlebih dahulu berada di depan selepas Vincent Kompany membuka tirai jaringan pada minit ke-31.
Begitupun, dua minit kemudian, Liverpool berjaya menyamakan kedudukan menerusi tonggak pertahanan City, Joleon Lescott yang tertampan bola masuk ke gawang sendiri.
Meskipun usaha mereka gagal untuk merekodkan kemenangan berturut-turut ekoran keputusan seri itu, City masih unggul selaku pendahulu carta liga dengan mengumpul 35 mata, lima mata meninggalkan pencabar utama mereka, Manchester United.
"Ia masih merupakan keputusan yang baik buat kami kerana kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada 10 minit terakhir perlawanan. Ternyata ia bukan satu tugas mudah buat kami di sini (Anfield)," jelas Mancini. - AFP

Safiq sudah ada pencabar




SAFIQ menggalas harapan jutaan peminat tempatan yang mahu menyaksikannya menyarung jersi Cardiff City.


ARKITEK berbakat Harimau Malaya, Safiq Rahim dilaporkan bersaing dengan bintang muda Slovakia, Ivan Stulajter sepanjang menjalani latihan selama tiga minggu bersama kelab Cardiff City.
Menurut laporan akhbar Britain, Daily Mail, kedua-dua pemain telah mula menjalani latihan bersama kesemua barisan utama The Bluebirds di bawah kendalian jurulatih, Malky Mackay.
"Kedua-dua pemain tersebut yang beraksi di posisi tengah menjalani ujian pemilihan tersebut bagi tempoh tiga minggu," kata laporan portal berita itu.
Safiq, 24, telah berlepas ke bumi England dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Rabu lepas.
Stulajter, 18, yang beraksi bersama kelab SK Sigma Olomouc pula merupakan pemain skuad Bawah 18 tahun Slovakia.
Safiq merupakan pemain kedua Malaysia yang mencuba nasib bersama Cardiff selepas bekas rakan sepasukannya di Selangor, Mohd. Safee Sali turut menjalani latihan yang sama awal September lalu.
Begitupun, peluang Safiq menyarung jersi The Bluebirds dikhabarkan lebih cerah berbanding Safee, lantaran usianya yang masih muda.
Disebabkan itu, Safiq tidak berdepan kesukaran sekiranya terpaksa beraksi untuk sekurang-kurangnya selama setahun di kelab lain sebagai antara syarat mendapatkan permit kerja bagi beraksi di kelab England.
Apa yang pasti, kehadiran Safiq menimba ilmu di kelab yang berpangkalan di Wales itu bukan sahaja mengujakan peminat bola sepak tempatan, tetapi juga peminat Cardiff sendiri.
Tinjauan Kosmo! di Cardiff City Online mendapati sebahagian besar peminat kelab itu ternanti-nantikan kehadiran Safiq terutama kehebatannya menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika menentang Liverpool pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Julai lalu.
Antara komen peminat Cardiff di dalam portal tersebut termasuklah: "Satu pelaburan yang berbaloi jika dia (Safiq) mampu menjaringkan gol menentang lawan yang hebat seperti Liverpool."
Terdapat juga komen peminat Cardiff yang berbunyi: "Satu sepakan percuma yang menarik, namun pada masa sama adakah dia (Safiq) sesuai beraksi bersama Cardiff kerana jurang tahap permainan bola sepak antara kedua-dua negara sememangnya cukup ketara."
Dalam pada itu, pemilik Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee dalam kenyataannya berkata, Safiq turut berpeluang berlatih bersama pasukan utama Cardiff sepanjang tiga minggu berada di sana.
"Saya percaya Safiq akan memberikan yang terbaik sepanjang mengikuti latihan itu nanti, selain akan dipantau Mackay secara peribadi bagi menilai kemampuannya," katanya